Apakah Bukti Sahih Pemuda Itu Adalah Imam Mahdi?

loading...


Imam asy-Syaukani menyenarai hadith-hadith dan riwayat-riwayat berkenaan Imam Mahdi, dan beliau mengatakan: "...jumlah kesemua hadith dan riwayat yang dapat kita kumpulkan mencapai darjat 'mutawatir' bila ditelaah secara mendalam..." [Kitab al-Fath ar-Rabbani asy-Syaukani]



Menurut sebuah hadith, zaman umat Nabi Muhammad SAW terbahagi kepada lima bahagian mengikut kerangka masa. 

"Masa kenabian itu ada di tengah-tengah kalian, adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia mengkehendaki untuk mengangkatnya. Seterusnya adalah masa Khilafah yang mengikut jejak kenabian (Khilafah 'ala minhaj an-nubuwwah), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia mengkehendaki untuk mengangkatnya. Seterusnya masa kerajaan yang menggigit (Mulkan 'Adhan), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia mengkehendaki untuk mengangkatnya. Setelah itu masa kerajaan yang menyombong (Mulkan Jabariyyan), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia mengkehendaki untuk mengangkaynya. Seterusnya adalah masa Khilafah yang mengikut jejak kenabian (Khilafah 'ala minhaj an-nubuwwah). Kemudian baginda (Nabi) diam." {1}
Kelima-lima bahagian kerangka masa zaman umat Nabi Muhammad SAW hampir sempurna semuanya, dimana hanya tinggal bahagian kelima yakni zaman Khilafah - dipimpin oleh seorang pemuda yang dimuliakan Allah SWT dalam satu malam - Imam Al-Mahdi. Betapa besarnya harapan umat Islam terhadap pemimpin Khilafah di akhir zaman ini, hinggakan muncul pula golongan dalam umat Islam yang begitu taksub hingga membawa mereka menjurus kepada kesesatan.

1) Muncul pihak yang mendakwa "seseorang" itu adalah Al-Mahdi yang dinanti-nantikan berdasarkan HANYA beberapa ciri-ciri inidividu itu.

2) Ada juga individu yang mendakwa dirinya adalah Al-Mahdi yang dinanti-nantikan.
Walhal, telah wujud ijma' dikalangan ulama Ahl Sunnah Wal Jamaah (mengenai hadith-hadith sahih) tentang Al-Mahdi yang mana wajib untuk kita percaya kepadanya.
AL-MAHDI TERMASUK PERSOALAN AQIDAH
Dalam pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah, Imam Mahdi termasuk di dalam soal aqidah Islam. Umat Islam wajib mpercayai dan meyakini sebagaimana yang telah dikhabarkan secara mutawatir di dalam hadith-hadith Nabawi. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hasyr secara jelas menyebut, maksudnya :
Dan apa yang dibawa oleh Rasul kepada kamu hendaklah kamu ambil dan apa yang ditegahnya hendaklah kamu jauhi." (Surah al-Hasyr:7)
Berdasarkan ayat diatas, jelaslah, apa sahaja yang dibawa dan dikhabarkan oleh Rasulullah SAW wajib diimani. Dan menafikan apa yang diucap atau diperakui oleh Rasulullah SAW (seperti mengatakan bahawa al-Mahdi bukan termasuk soal aqidah) samalah seperti menafikan beriman kepada Rasulullah SAW. Walhal, setiap apa yangg dikhabarkan oleh Rasulullah SAW tentang sesuatu perkara adalah berdasarkan kepada wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT.
Ibn Hazm dalam Kitab Muratibul Ijma' menjelaskan bahawa :

"Ulama Islam telah Istifaq dan Ijma', bahawa sabdaan Rasulullah apabila telah sah dan benar bahawa itu adaah sabda Rasulullah dengan yakin, maka ia wajin kita ikuti."

Al-'Allamah Syeikh Muhammad Zahid al-Kautsar ketika mengulas perkataan Ibn Hazm di dalam kitabnya Nadzratun Ibaratun :

"Dihukum KAFIR sesiapa yang ingkar dengan hukum yang ada ijma' (sepakat) padanya dengan ijma' yaqini (kesepakatan yang diyakini), bukan ia diiktibarkan kufur dari segi ijma', bahkan dihukum kafir dari segi ia engkarkan perkara yang tersabit (muktamad) dalam agama dengan ilmu dharuri dan ijma' yaqini itu mestilah ia bersandarkan kepada AL-QURAN dan HADITH MUTAWATIR, maka orang yang engkar akan hukum yang tsabit dgn al-Quran atau hadith mutawatir bukan sahaja ia engkarkan ijma', bahkan ia engkarkan al-Quran dan hadith mutawatir."

Manakala, Al-'Allamah As-Safarini, di dalam kitab tauhidnya yang terkenal, ad-Duratul Mudhiyatu Fi Aqidatil Firqatil Mardhiya ketika memberi komentar tentang pengzahiran Imam Mahdi menyebut :

"Adapun beriman dengan keluarnya Imam Mahdi itu adalah wajib sebagaimana yang telah ditetapkan pada ilmu ahli tauhid dan telah dituliskan dalam aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah."

Persidangan Jamaah Ulama, Majlis Agama Islam Kelantan turut mengeluarkan fatwa yang berbunyi :

"Setelah mengkaji dan berbincang dgn panjang lebar. Maka Jamaah Ulama bersetuju memfatwakan seperti berikut : 1. Orang Islam sayugia (wajib sentiasa) beri'tiqad lahirnya Imam mahdi akan datang. 2. Imam yang dimaksudkan itu berupa khalifah yang memerintah dunia 3. Imam al-mahdi adalah daripada keturunan Rasulullah SAW yg akan dibai'ahkan di antara Rukun Hajar al-Aswad dan Maqam Nabi Ibrahim {2} 4. Tentang dimanakah duduknya Imam Mahdi itu. Hanya Allah sahaja yang lebih mengetahui" {3}


HADITH-HADITH YANG MEMBUKTIKAN PEMUDA ITU ADALAH IMAM MAHDI


1. Musim Haji Berdarah Di Mina

Negara Arab sebelum itu sudah menjadi perhatian dunia kerana konflik dalaman dan perebutan kuasa yang berlaku di negara tersebut setelah kewafatan Raja Haramain (Arab Saudi). {4} Urusan Haji pada tahun tersebut tidak berjalan dengan lancar kerana berlaku rompakan dan kematian. Ada seperti tindakan sabotaj yang mahu memburukkan pimpinan pengganti Raja yang mengambil alih pada masa itu. Sabda Nabi Muhammad SAW;

"Sebelum pembaiatan al-Mahdi di antara Hajarul Aswad dan Maqam Ibrahim, ada kabilah yang menarik perhatian al-Mahdi mengenai sikap dan perampasan mereka terhadap jemaah haji di Mina."




Diriwayatkan oleh 'Amr ibn Shu'ayb, al-Hakim dan Nu'aym ibn Hammad ; "Orang-orang akan menunaikan ibadah haji bersama-sama dan berkumpul tanpa seorang Imam. Orang-orang yang naik haji akan dilempari dan akan ada sebuah peperangan di Mina yang menyebabkan banyak orang terbunuh dan darah akan mengalir sampai Jumratul Aqabah."

Imam Mahdi tidak akan dibaiat sehinggalah umat manusia yang sedang mengerjakan haji dibunuh beramai-ramai oleh sekumpulan orang-orang yang sengaja mahu membunuh mereka. Kumpulan yang membunuh jemaah haji itu adalah dari kalangan orang-orang Syiah kerana hanya orang-orang Islam sahaja yang dibenarkan masuk ke dalam kota suci Makkah. Disebutkan dalam hadis ini ada kabilah yang merampas - ia sekaligus menunjukkan bahawa mereka itu juga adalah orang-orang Islam, mereka masuk ke Makkah dengan tujuan zahirnya untuk mengerjakan haji, kemudian semasa di Mina mereka membunuh sebanyak mungkin jemaah haji. Selain membunuh jemaah haji, mereka juga cuba untuk merampas kuasa di Makkah, dengan tujuan dapat menguasainya dan sekali gus menghalang kemunculan Imam Mahdi yang sebenar (bukan dari kalangan mereka), yang kemunculannya sudah amat pasti saat itu. {5}

Sementara, kitab Al-Muttaqi al-Hindi, Al-Burhan fi Alamat al-Mahdi Akhir al-Zaman {6} pula menyebut : "Orang-orang akan menunaikan ibadah haji tanpa seorang imam yang memimpin mereka. Peperangan besar akan pecah ketika sampai ke Mina dan mereka dilempari seperti anjing dilempari dan suku-suku saling menyerang satu dengan lainnya. Perselisihan ini meluas sehingga kedua kaki terkubur di genangan darah."

Pada tahun 1979, sebuah pembantaian ketika musim haji yang sangat mirip dengan kenyataan di atas telah terjadi berhampiran. Menariknya, pembantaian ini terjadi pada permulaan period sepanjang tanda-tanda kemunculnya Imam Mahdi, iaitu hari pertama 1400 Hijriyah (21 November 1979). Hadits-hadits ini juga menyebut tentang pertumpahan darah dan pembantaian. Pembunuhan ke atas 30 orang sepanjang pertempuran antara tentera Arab Saudi dan penganut Syiah yang melakukan rusuhan selama tempoh itu secara tidak langsung telah memperkuat lagi kebenaran hadits ini. {7}


Jika dilihat dari sudut sejarah, keganasan penganut Syiah pada musim haji adalah perkara yang biasa kerana :

1. Pada musim haji tahun 1979, Khomeini telah mengarahkan kaum kuffar Rafidah - menyamar sebagai kaum muslimin pergi menunaikan haji. Mereka lalu mengadakan rusuhan serta mencemarkan perkuburan Baqi’ (tanah perkuburan para Sahabat Rasulullah SAW).
2. Pada Februari 2009, kaum Rafidah yang menetap di Arab Saudi telah mengadakan rusuhan di Masjid Nabawi dan sekali lagi menceroboh perkuburan Baqi’ serta memijak-mijak kubur para Sahabat Rasulullah SAW. [klik disini]
3. Bukti lain keganasan puak Syiah juga boleh dilihat pada kubah Masjid Nabawi yang mana hingga kini masih kekal jasad seorang penganut Syiah yang cuba mencuri jasad Rasulullah SAW.
Dan ingatlah bahawa telah dinyatakan di dalam hadith, salah satu peperangan yang akan dilalui oleh Imam Mahdi adalah perang menentang Parsi iaitu bumi Iran kini:

"Kalian perangi jazirah Arab dan Allah beri kalian kemenangan. Kemudian Persia (Iran), dan Allah beri kalian kemenangan. Kemudian kalian perangi Rum, dan Allah beri kalian kemenangan. Kemudian kalian perangi Dajjal, dan Allah beri kalian kemenangan." {8}

2. Tempat Imam Mahdi Dibai'ah

Menurut Syeikh Nu'aim bin Hammad (guru Imam Bukhari) dalam himpunan atsar akhir zaman, orang yang akan membai'ahnya bukanlah daripada kalangan orang awam, bahkan terdiri daripada kalangan ulama soleh, para kekasih dan aulia Allah SWT yang didorong mencari Imam Mahdi.Kerja mencari Imam Mahdi bukan kerja kita. Ia adalah kerja orang pilihan Allah SWT. Mereka yang dipilih Allah SWT itu mestilah dikalangan orang soleh dan para kekasih Allah SWT kerana hanya mereka sahaja yang nampak ciri-ciri sebenar Imam Mahdi. Melalui ilmu yang dikurniakan oleh Allah SWT, mereka akan dapat mengecam pemuda yang bakal menjadi Imam Mahdi itu.


Oleh kerana akhlak Imam Mahdi menyerupai akhlak Rasulullah SAW maka para kekasih dan aulia Allah SWT adalah mereka yang layak berada disamping pembaiatannya. mereka bukan sahaja faqih, alim, soleh dan aulia Allah SWT, bahkan mencintai Nabi Muhammad SAW. Mereka pernah dan sudah melihat akhlak Nabi SAW di dalam mimpi-mimpi mereka, kerana melihat nabi di dalam mimpi adalah benar. {9}


Kehadiran ulama soleh, para kekasih dan aulia Allah SWT di Bait Allah SWT (Kaabah) pada saat itu atas dorongan yang tidak dapat dihuraikan. Ia seperti kisah tujuh pemuda Ashabul Kahfi yang berhimpun lari dari kekejaman Raja Diqiyanus - mereka berhimpun di tempat yang sama, padahal dikalangan mereka tidak mengenali antara satu sama lain tetapi mempunyai tujuan sama. {10}


Di dalam Musnad Imam Ahmad, beliau mengeluarkan sebuah hadith daripada Abu Qatadah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda :


"Diberikan bai'ah kepada seorang lelaki di tempat antara rukun (Hajar al-Aswad) dan maqam (Maqam Ibrahim) dan tidak ada yang menduduki Bait Allah (pada masa itu) kecuali yang berhak melakukannya."

Daripada Ummu Salamah, diriwayatkan secara marfu' :


"Akan terjadi perbezaan pendapat ketika wafatnya seorang khalifah. Kemudian salah seorang lelaki penduduk Madinah pergi keluar menuju Makkah. Penduduk Makkah menemuinya, memintanya keluar dari rumah, padahal ia tidak menyukainya. Kemudian mereka membai'ah lelaki itu di antara rukun (Hajar al-Aswad) dan maqam (Maqam Ibrahim). Kemudian datanglah satu pasukan dari Syam untuk memeranginya. Pasukan itu diserang di padang pasir yang tandus, yang terletak di antara Makkah dan Madinah. Ketika orang-orang soleh Syam dan sekelompok orang Iraq mengetahui itu, mereka mendatangi lelaki tersebut dan membai'ahnya (di antara Hajar Aswad dan Maqam Ibrahim). Saat itu muncul seorang lelaki Quraisy yang memiliki garis keturunan daripada pihak ibu Bani Kilab. Lalu lelaki Quraisy itu mengirimkan pasukan untuk memerangi orang-orang yang membai'ah tadi berhasil mengalahkan pasukan yang dikirim lelaki Quraisy itu. Pasukan lelaki Quraisy tersebut bagaikan anjing. Merugilah orang-orang yang tidak menyaksikan rampasan perang Bani Kilab itu. Kemudian lelaki itu membahagikan harta itu. Dia menerapkan sunnah Nabi SAW sehingga Islam menjadi terhormat di muka bumi ini. Lelaki itu (al-Mahdi) memerintah selama tujuh tahun, kemudian wafat dan kaum Muslimin mensolatkannya." {11}


Hadith di atas boleh menjadi SATU BUKTI YANG AKAN MENSAHIHKAN bahawa individu yang dibai'at itu adalah Imam Mahdi yang sebenar-benarnya.


3. Pasukan Khas Mencari Dan Membunuh Imam Mahdi Dimusnahkan Oleh Allah SWT

Bukti lain yang mensahihkan pembai'atan Al-Mahdi adalah sabda Nabi Muhammad SAW - akan ada bukti pertolongan Allah SWT yang akan dihebahkan ke seluruh pelusuk dunia iaitu tentera yang mahu menghancurkan Imam Mahdi akan ditenggelamkan di Baida'. {12}

Daripada Syyidah Aisyah Ummul Mu'minin r.a telah berkata :


"Pada suatu ari tubuh Rasulullah SAW bergetar di dalam tidurnya. Lalu aku bertanya; "Mengapa engkau berkeadaan sesuatu yang belum pernah engkau lakukan sebelumnya wahai Rasulullah?" Rasulullah SAW menjawap; "Akan terjadi suatu keanehan iaitu sekelompok orang daripada umatku akan berangkat menuju Bait Allah (rumah Allah) untuk memburu seorang lelaki Quraisy yang sedang mengunjungi Kaabah. Sehingga apabila orang-orang tersebut telah sampai di sebuah padang pasir, maka mereka ditelan bumi." Kemudian aku bertanya; "Bukankah di jalan padang pasir itu terdapat bermacam-macam orang?" Baginda menjawap; "Benar, di antara mereka yang ditelan tersebut ada yang sengaja pergi untuk berperang dan ada pula yang dipaksa untuk berperang, serta ada pula orang yang sedang berada dalam suatu perjalanan, akan tetapi mereka dibinasa dalam satu waktu dan tempat yang sama. Sedangkan mereka berasal dari arah (niat) yang berbeza. Kemudian Allah akan membangkitkan mereka pada hari berbangkit (Kiamat-Hari Pengadilan), menurut niat masing-masing." {13}

Dan ketika itu, sahihlah pemuda itu adalah Imam Mahdi yang dibantu oleh Allah SWT. Tenggelamnya tentera atau pasukan khas yang mahu membunuh Imam Mahdi akan disiarkan ke seluruh dunia melalui hebahan media massa terutamanya TV. {14}


4. Munculnya Api Yang Membakar Hijjaz


Satu lagi tanda besar yang mengamit perhatian dan pengesahan bahawa Imam Mahdi telah zahir pada waktu itu ialah munculnya api besar yang membakar tanah Hijjaz. Kemunculan api ini memang ada disebutkan dalam hadith Nabi SAW. Namun api yang dinyatakan di atas bukanlah api yang muncul pada 654 M tetapi api yang akan muncul di akhir zaman seiring dengan kezahiran Imam Mahdi. Ia berdasarkan pendapat Ibnu Hajar Al-Asqalani yang berpendapat bahawa api itu akan terjadi dua kali. Yang pertama, pada abad ke-7 H (sepertimana yg disebut oleh kebanyakan ulama). Manakala yang kedua akan terjadi di akhir zaman nanti. {15}

Sekadar catitan - Hujahan daripada buku Menyongsong Imam Mahdi : Sang Penakluk Dajjal yang dipetik daripada buku Fitnah dan Petaka Akhir Zaman : Detik Menuju Kehancuran Alam Semesta karya Abu Fatiah Al-Adnani, menyebut {16}:

...Pasukan besar yang bergerak dari segala penjuru Jazirah Arab itu, berikut yang datang dari sekitarnya, juga yang datang dari luar Jazirah Arab, selamanya tidak akan dapat menjejakkan kaki di Makkah al-Mukarramah. Sebab penghancuran menggerikan atas pasukan as-Sufyani dan bencana besar akan terjadi dalam bentuknya yang tidak pernah terbayangkan dalam fikiran manusia waima yang terpintar. Api akan menyala berkobar-kobar secara tiba-tiba di seluruh penjuru Jazirah Arab...(diringkaskan) adalah api Hijjaz yang diwartakan oleh Nabi SAW menerusi sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah {17}; "Kiamat tidak akan terjadi sampai muncul api dari tanah Hijjaz yang menerangi punuk-punuk unta di Bushra." {18}

Menurut pendapat yang kuat, api ini bukanlah api yang menyala pada pertengahan abad ke-8 atau lebih tepat iaitu pada tahun 654 H. Imam An-Nawawi dalam Syarh Shahih Muslimnya mengatakan ; "Di zaman kami menyala api di Madinah pada 657 H. Api sangat besar itu muncul dari pinggir Madinah, di belakang Harrah. Berita tentangnya sampai ke Syam dan negeri-negeri lain secara berantai..." {19}

Ibn Katsir dan Al-Qurthubi menceritakan keadaan munculnya api ini dengan panjang lebar dalam kitab masing-masing, al-Bidayah wa al-Nihayah dan At-Tadzkirah. Dinyatakan juga bahawa api itu dapat dilihat dari Makkah dan pembukitan Bushra. Seorang lagi pemikir Muslim, Yusuf Abdullah al-Wabil, turut mengemukakan pendapat yang sama, bahawa api itu bukanlah api yang dimaksudkan dalam riwayat di atas.

Dalam pada itu, tanda-tanda yang disebut kemunculan bintang berekor, gerhana bulan dan matahari di dalam bulan Ramadhan, terjadinya pertumpahan darah dalam musim Haji, dan kewafatan Raja Haramain (Raja Arab Saudi) adalah tanda dekat kemunculannya.


sertai kami di facebook, klik
Justeru, jika ada yang mengaku bahawa dia adalah Imam Mahdi atau sudah bertemu dengan Imam Mahdi, buat masa ini abaikan sahaja, dan berlapang dada dengan dakwaan seperti itu. Semoga Allah memberikan kita petunjuk dan hidayah yang jelas kepada kita semua. Seperkara lagi yang perlu kita ingati adalah "Imam Mahdi sendiri tidak akan mengetahui bahawa dirinyalah Al-Mahdi yang dinanti-nantikan." Dan ketika umat Islam ingin membai'ahnya, 'dia' tidak akan menyukainya. Hal ini telah dinyatakan dengan jelas di dalam hadith-hadith yang telahpun kita bincangkan.



Wallahualam bissawab
Loading...
loading...

0 Response to "Apakah Bukti Sahih Pemuda Itu Adalah Imam Mahdi?"

Post a Comment

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close