Anak jelaskan kenapa Haron dikebumi di AS

loading...


KUALA LUMPUR 18 Sept. – Anak Allahyarham Datuk Haron Din, Dr. Huda Haron, hari ini menjelaskan sebab-sebab mengapa ayahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore di San Francisco, California, Amerika Syarikat, semalam.


ISTERI Allahyarham Datuk Dr. Haron Din, Datin Khadijah Salleh menyiram air ke pusara pendakwah dan tokoh perubatan Islam itu di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore, San Francisco, California, Amerika Syarikat.

Sambil memohon maaf, Huda melalui status yang dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya pada pukul 8.30 pagi ini berkata, beliau bersama empat adik-beradiknya yang lain iaitu Hamdi, Salwa, Najmi dan Hana serta ibu mereka, Datin Khadijah Salleh sepakat membuat keputusan tersebut selepas mengambil kira banyak faktor.

Faktor utama mereka membuat keputusan untuk mengebumikan jenazah pendakwah dan tokoh perubatan Islam terkenal itu di Amerika adalah setelah mengambil kira pesanan Allahyarham yang mahu arwah dikebumikan di tempat di mana beliau meninggal dunia.

“Berat sungguh keputusan yang terpaksa kami ambil untuk semadikan jasad baba di bumi asing. Namun, ketentuan Allah tidak dapat kami sanggah dan terpaksa bertindak di luar batas insani dan kasih sayang.

“Semasa hayat baba, teri­ngat suatu ketika, hendak bawa jenazah dari Kuala Lumpur ke Perlis pun baba takkan izin. Inikan pula berjam-jam, malah berhari-hari dalam peti ais. Selain itu perlu melalui embalm (pe­ngawetan) yang pastinya menyeksakan segenap urat saraf.

“Banyak kali kuliah dan pesanan baba. Perlu disimpan (disemadikan) di tempat di mana malaikat datang menjemputnya. Walaupun ramai yang telah menghulurkan bantuan untuk urusan membawa pulang (jenazah Allahyarham), tapi jangka masa tujuh hari adalah sesuatu yang tidak dapat kami terima untuk biarkan baba tanpa penghormatan dan kemuliaan yang sepatutnya,” katanya.

Dalam nukilan yang penuh emosi itu Huda mengakui, hatta jika ditanya hati kecilnya sendiri yang mementingkan diri sendiri, memang beliau mahu ba­panya yang juga Musyidul Am Pas itu sentiasa ‘dekat’ bersama-samanya sentiasa.

“Supaya ingatan tidak padam sampai bila-bila kerana batu tandanya dekat dengan kita, Biar kita mampu ziarah (pusaranya) hari-hari. Biar semua yang lain dapat ziarah berkali-kali. Biar ada di hadapan mata. Itulah kehendak kita dan saya rasa itulah juga kehendak ramai lagi yang sayangkan baba.

“Tapi adakah keputusan itu tepat untuk baba? Menyegerakan pengendalian dan penyenggaraan jenazah juga dituntut syarak. Kita rasa baba milik kita, sebenarnya baba milik Allah! Maafkan kami seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Huda turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia, khususnya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang bersusah-payah membantu menga­turkan pesawat persendirian bagi membawa pulang jenazah ayahnya ke tanah air.

Sementara itu, Cucu Allahyarham, Hakeem Hamdi yang mengimamkan solat jenazah ghaib di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, dekat sini semalam, melahirkan rasa kagum dan bangga dengan keperibadian datuknya.

Ucapan itu dapat dibaca dalam akaun Facebook milik Tuan Guru Dato’ Dr. Harun Din (official) yang dimuat naik pukul 8.30 pagi ini.

“Tokwan (Allahyarham Dr. Haron Din), anda merupakan guru yang hebat. Sehingga ke saat akhir, tokwan masih me­ngajar kami tentang solat jenazah ghaib, penjagaan jenazah, khalifah, taman syurga, kesatuan keluarga dan lain-lain.

“Tokwan, mesti tokwan bangga dengan keluarga tokwan. Kami telah melakukan segalanya yang mampu walaupun ketika kami sedang bersedih dan menangis,” katanya yang turut mendoakan al-Fatihah kepada datuknya itu.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/anak-jelaskan-kenapa-haron-dikebumi-di-as-1.384600#sthash.7wi91pQJ.dpuf
Loading...
loading...

0 Response to "Anak jelaskan kenapa Haron dikebumi di AS"

Post a Comment

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close