‘Mengapa saya tidak cakap bahasa Melayu’

loading...

‘Mengapa saya tidak cakap bahasa Melayu’





MOHD. FAIZ SUBRI membaca teks ucapannya menerusi telefon bimbit.



KUALA LUMPUR 10 Jan. – Sedar dengan reaksi peminat tempatan yang tertanya-tanya mengapa dia tidak berucap dalam bahasa Melayu ketika menaiki pentas untuk menerima anugerah Puskas awal pagi tadi, Mohd. Faiz Subri menjelaskan, semua itu di luar kawalannya.


Pada 5 Disember lalu, Faiz Subri pernah memberitahu Utusan Malaysia dia mahu berucap dalam Bahasa Melayu jika dinobat sebagai pemenang, selain memakai baju Melayu.

Bagaimanapun kata Faiz, hasrat tersebut tidak dibenarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Katanya lagi, badan bola sepak itu hanya membenarkan pemain bercakap dalam bahasa Inggeris, Sepanyol dan Perancis kerana tidak dapat menyediakan penterjemah, terutama untuk televisyen yang disiar secara langsung di seluruh dunia.

Dia juga terpaksa melupakan hasrat memakai baju Melayu yang agak nipis kerana keadaan cuaca di Zurich yang terlalu sejuk hingga mencecah -3 darjah Celsius.

Biarpun beberapa impiannya tidak kesampaian, namun berada di pentas Anugerah FIFA dan dinobat sebagai pemenang Puskas merupakan detik yang mengujakan buat penyerang Pulau Pinang itu.

Kata Faiz, dia agak gementar ketika mahu memberi ucapan sehingga mengambil masa untuk mencari teks ucapannya di dalam telefon bimbit.

Reaksi Faiz disambut dengan gelak ketawa penonton di dewan.

“Saya hanya diberi masa 30 saat untuk berucap, jadi perasaan ketika itu agak gementar. Memang sangat gemuruh sehingga saya tidak jumpa ucapan dalam telefon,” kata Faiz.

Populariti pemain berusia 30 tahun itu yang naik mendadak, malah didatangi peminat tidak diduga di Zurich turut menambah rasa gementar Faiz.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah yang menemani Faiz ke Zurich memberitahu, pemain itu ibarat ‘selebriti’ dan didatangi peminat yang mahu bergambar dengannya sebelum dan ketika majlis berlangsung.

“Dia juga terkejut apabila didatangi Cristiano Ronaldo, Alex Ferguson, Manuel Neuer, Dani Alves dan Sergio Ramos yang mengucapkan tahniah kepadanya,” kata Afandi.

Loading...
loading...

0 Response to "‘Mengapa saya tidak cakap bahasa Melayu’"

Post a Comment

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close