loading...
Perlukah kita?SAMAK MULUT JIKA TERMAKAN BABI?
Baru-baru ini telah muncul satu pendapat yang mengatakan bahawa sesiapa yang termakan daging babi perlu menyamak mulutnya iaitu berkumur-kumur dengan air bercampur tanah. Di dalam mengeluarkan sesuatu hukum, seharusnya kita kembali kepada penilaian syarak berasaskan sumber hukum Islam itu sendiri iaitu Al-Quran dan As-Sunnah mengikut kefahaman salaf as-saleh.
Kalau kita kembali kepada dalil yang membawa kepada hukum najis mughallazah iaitu najis yang hanya boleh disucikan dengan tujuh kali basuhan di mana satu daripadanya adalah dengan air bercampur tanah, Rasulullah sallallaahu ‘alaihi wasallam bersabda, maksudnya:
“Jika ada anjing minum pada bekas air salah seorang di antara kalian, maka cucilah bekas tersebut tujuh kali.” Dalam riwayat Imam Muslim menyebut, “Cucian yang pertama menggunakan tanah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Imam Muslim turut meriwayatkan di dalam riwayat yang lain, Rasulullah sallallaahu ‘alaihi wasallambersabda, maksudnya:
“Jika ada anjing menjilat di dalam satu wadah, maka cucilah wadah itu tujuh kali dan campurilah yang kelapan dengan tanah.” (Riwayat Muslim dan At-Tirmidzi)
Daripada dalil-dalil ini, para ulama mengkategorikan air liur anjing sebagai najis yang paling berat iaitu disebut sebagai Najis Mughalladzah. Dari sini juga dapat kita simpulkan bahawa pendapat yang mengatakan orang yang memakan babi perlu menyamak mulutnya dengan air tanah adalah salah berdasarkan justifikasi berikut;
Pertama, untuk kita mengqiyaskan daging babi dengan air liur anjing, kita perlu mengetahui ‘illah iaitu perkara yang menjadi penyebab berlakunya sesuatu hukum; kenapa syarak mengkategorikan air liur anjing sebagai najis mughallazhah, dan hal ini tidak diketahui oleh sesiapa pun. Jadi bagaimana kita boleh menqiyaskan air liur anjing dengan daging babi tanpa kita mengetahui ‘illahnya, sedangkan kesamaan ‘illah menjadi syarat utama di antara syarat-syarat qiyas. Maka qiyasnya tidak ada.
Kedua, pengharaman daging babi telah pun disebutkan di dalam Al-Quran dan juga hadis Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam. Di dalam keduanya; Al-Quran mahupun As-Sunnah tidak menyebut perlunya menyamak mana-mana bekas yang terkena dengan daging babi secara khasnya. Sebaliknya, syarak hanya menyebutkan tentang bekas yang dijilat oleh anjing, ataupun disebutkan di dalam hadis bekas yang terkena dengan air liur anjing sahaja (yang perlu disamak). Maka untuk itu, hanya air liur anjing sahaja yang dikategorikan sebagai najis mughallazhah yang perlu disamak.
Bahkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan dinilai sahih oleh Syaikh Al-Albani di dalam Sahih Sunan Abi Dawud menyebut secara jelas dari Rasulullah bahawasanya bekas yang terkena daging babi hanya perlu dicuci dengan air. Dari Abi Tsa’labah al-Khusyaini radhiallahu ‘anh berkata, aku bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: “Sesungguhnya kami bertetangga dengan Ahli Kitab. Mereka biasa memasak daging babi di dalam periuk dan meminum khamar di dalam gelas mereka. Rasulullah menjawab, maksudnya: “Jika kalian dapat menggunakan perkakas yang lain maka makan dan minumlah di dalamnya. Jika kalian tidak dapat perkakas yang lain, maka cucilah ia dengan air kemudian makan dan minumlah di dalamnya.”
Imam Asy-Syafi’i dan Imam Ahmad bin Hanbal rahimahumallah mengatakan bahawa (kenajisan) babi tidak sama dengan anjing. Hujahnya ialah syarak hanya mengkhususkan pada anjing ketika membahaskan tentang permasalahan ini sedangkan di dalam Al-Quran telah disebut tentang keharaman memakan babi. Ini menunjukkan bahawa babi bukanlah sesuatu yang asing bagi masyarakat Arab ketika Rasulullah diutuskan kepada mereka. Namun mengapa syarak tidak menyebutkan babi sebaliknya mengkhaskan kepada anjing, ini menunjukkan najis mugalladzah yang perlu dicuci dengan tujuh kali basuhan dan salah satu daripadanya dengan tanah adalah khas buat anjing. Pendapat ini hujahnya kuat, adapun pendapat yang mengqiyaskan babi dengan anjing hanyalah sekadar ijtihad tanpa ada dalil atau petunjuk dari Al-Quran dan As-Sunnah.
Ketiga, apabila kita hendak membincangkan tentang asal permasalahan najis mughalladzah iaitu air liur anjing, di antara permasalahan yang berkaitan tentang air liur anjing ini adalah permasalahan tentang haiwan tangkapan yang telah digigit oleh anjing buruan. Kita semua maklum bahawa syarak membolehkan anjing untuk tujuan buruan atau untuk penternakan. Maka di dalam buruan, syarak membolehkan kita menggunakan anjing untuk menangkap haiwan buruan.
Dalam masalah haiwan tangkapan yang telah digigit oleh anjing buruan, timbul persoalan yang menjadi perbahasan di kalangan ahli ilmu; apakah perlu menyamak haiwan tangkapan itu yang jelas telah digigit oleh anjing dan telah terkena air liur anjing, sedangkan kita tahu bahawa asal hukum air liur anjing itu adalah najis mughalladzah.
Apakah perlu disamak?
Dalam masalah ini secara khasnya, syarak bersikap memudahkan (memberi kelonggaran). Maka seperti mana yang disebutkan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, syarak tidak mewajibkan ke atas kita untuk menyamak haiwan tangkapan yang telah digigit oleh anjing buruan. Maka kalau kita lihat di dalam ayat Al-Quran, Allah Subhaanahu wa Ta’ala berfirman, maksudnya:
“Maka makanlah dari apa yang telah ditangkapnya untuk kamu (oleh anjing buruan), dan sebutlah Nama Allah di atasnya.” (Surah Al-Maa-idah, 5: 4)
Dan juga dari hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah sallallaahu ‘alaihi wasallambersabda, maksudnya: “Sekiranya kamu telah utuskan anjing kamu yang telah diajar dan kamu telah menyebutkan nama Allah, maka makanlah apa yang telah ditangkap untukmu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kalau kita melihat kedua-dua nas dari Al-Quran dan juga hadis tentang anjing buruan, syarak sekadar menyebutkan tentang perlunya kita membaca bismillah sebaik sahaja kita menghantar (melepaskan) anjing untuk menangkap haiwan. Cukup sekadar itu.
Syarak tidak mewajibkan untuk kita menyamak haiwan yang telah ditangkap oleh anjing buruan. Ini kerana, syarak di dalam mengizinkan kita menggunakan anjing untuk tujuan berburu adalah bertujuan untuk memudahkan; iaitu memudahkan kita menangkap haiwan yang sukar ditangkap kerana anjing itu cekap dan pantas.
Maka tidak hairanlah mengapa syarak tidak mewajibkan kita menyamak. Kerana jika kita hendak menyamak haiwan tangkapan, itu jelas bercanggah dengan tujuan utama untuk memudahkan kerana akhirnya kita menjadi susah kerana perlu menyamak haiwan yang ditangkap tersebut.
Bahkan tidak ada riwayat daripada amalan-amalan para sahabat Nabi; yang mana mereka menggunakan anjing buruan, namun tidak ada satu pun riwayat yang menunjukkan mereka menyamak haiwan tangkapan yang telah digigit oleh anjing buruan. Jika mereka melakukannya, sudah pasti perbuatan mereka itu akan diriwayatkan.
Kembali kepada pendapat yang mengatakan perlunya menyamak mulut dengan berkumur-kumur dengan air tanah, ini jelas pendapat yang tidak ada dalil dari Al-Quran mahu pun As-Sunnah. Bahkan dalil dari Al-Quran dan Sunnah seperti yang telah disebutkan bercanggah dengan pendapat ini.
Jelas bahawa pendapat ini tidak lebih daripada pendapat akal semata-mata bahkan ia lebih bersikap menyusah-nyusahkan dan berlebih-lebihan. Sedangkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam bersabda, maksudnya:
“Telah binasalah orang-orang yang bersikap melampau. Telah binasalah orang-orang yang bersikap melampau. Telah binasalah orang yang bersikap melampau.” (Riwayat Muslim)
Juga di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, di mana sabda Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam, maksudnya:
“Sesungguhnya agama itu mudah, dan tidaklah seseorang menyusah-nyusahkan agama melainkan dia akan tertewas (merasa berat dengan agama).” (Riwayat Al-Bukhari)
Maka dari itu, sebuah atsar yang disebutkan oleh Saidina Umar Al-Khatthab radhiyallaahu’anhu, beliau mengatakan, maksudnya: “Kami dilarang daripada bersikap berlebih-lebihan (menyusah-nyusahkan).”(Riwayat Bukhari)
Maka pendapat yang mengatakan wajibnya berkumur-kumur dengan air tanah, juga bekas-bekas yang terkena daging babi, atau apa juga yang terkena dengannya perlu disamak; ini juga tiada dalil, ini hanyalah ijtihad semata-mata. Bukan itu sahaja bahkan dikatakan mulut juga perlu disamak iaitu dibasuh sebanyak tujuh kali, yang pertama dengan air tanah. Ini jelas pendapat yang berlebih-lebihan dan bercanggah dengan prinsip syarak yang memudahkan.
Penulis adalah Pegawai Penyelidik di Kedutaan Arab Saudi merangkap Ahli Majlis Syura, Pertubuhan Ilmuwan Malaysia (iLMU)
sumber: ustaz idris sulaiman
Loading...
loading...
0 Response to "Perlukah kita?SAMAK MULUT JIKA TERMAKAN BABI?"
Post a Comment